Utamakan Keselamatan Sebelum Teruskan Aktiviti Laut Menjelang Musim Monsun Ini

Utamakan Keselamatan Sebelum Teruskan Aktiviti Laut Menjelang Musim Monsun Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Komuniti maritim di negeri Sabah diingatkan untuk mengutaman keselamatan sebelum meneruskan sebarang aktiviti di laut atau persisiran pantai menjelang musim monsun yang sedang dialami sekarang.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah berkata, antara langkah yang boleh diamalkan ialah dengan menyemak laporan kaji cuaca di laman web Maritim Malaysia atau Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum keluar ke laut serta hendaklah sentiasa peka dengan sebarang perubahan cuaca.

“Komuniti maritim juga diingatkan untuk sentiasa memakai jaket keselamatan, bawa peranti pengesan kedudukan seperti Personal Locator Beacon (PBL) serta memaklumkan lokasi dan tujuan ke laut kepada ahli keluarga atau sahabat handai…

“Aspek keselamatan bot atau vesel juga harus dititikberatkan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini dari berlaku” katanya dalam sebuah kenyataan semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan notis amaran cuaca buruk disekitar pantai barat Sabah dan Labuan dan perairan tersebut dijangka akan mengalami hujan lebat yang berterusan bermula semalam (21 Sept) dan ianya merupakan fasa permulaan bagi Monsun Timur Laut yang dijangka akan bermula pada Oktober hingga Mac depan.

Menurut Rosli, Maritime Rescue Sub Centre(MRSC) Kota Kinabalu pada tahun ini telah merekodkan sebanyak 36 kes CARILAMAT (cari dan menyelamat) bermula dari Januari hingga awal September 2021 membabitkan 114 orang.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah…

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 94 berjaya diselamatkan, 11 maut manakala 9 masih hilang serta belum ditemui…

“Semalam, Pusat Operasi Zon Maritim Kudat telah menerima laporan berkaitan sebuah bot kayu yang mengalami kerosakan enjin dikedudukan sekitar 6.5 batu nautika timur Tanjung Kudat.

“Seorang lelaki, seorang perempuan bersama seorang kanak lelaki masing-masing berusia 50, 45 serta 7 tahun berjaya diselamatkan bot peronda Maritim Malaysia.

“Bot mangsa yang mengalami kerosakan ditunda ke Jeti Karakit, Pulau Banggi,” katanya.

Rosli berkata pihaknya turut mendapati berlaku kekerapan yang tinggi bagi kesalahan-kesalahan dilakukan oleh bot-bot nelayan tempatan berkaitan alat pemadam api kecil tamat tempoh, gagal melaporkan pertukaran juragan, membawa lebih penumpang dan tidak membawa jaket keselamatan.

“Sejumlah 125 kes dan tangkapan direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga September 2021 melibatkan Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah…

“Maritim Negeri Sabah akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan komuniti maritim mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan termasuklah kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002 (Kesalahan-kesalahan Bot Kecil Sabah 2008),” tegasnya.

Komuniti Maritim diseru untuk terus meningkatkan keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut dan laporkan sebarang kejadian kecemasan di laut menggunakan talian 999 (MERS) dan 088-387774 (Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan).