Penubuhan ECoS Pemangkin Ekonomi, Buka Peluang Untuk Anak Sabah – Anuar

Penubuhan ECoS Pemangkin Ekonomi, Buka Peluang Untuk Anak Sabah – Anuar

0
SHARE
Anuar
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Anuar Ayub ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Pertubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) boleh menjadi pemangkin pertubuhan ekonomi serta menggilap kemahiran kalangan belia tempatan.

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Anuar Ayub dalam ucapan perbahasan menyokong Rang Undang-Undang Enakmen Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

Katanya, penubuhan ECoS menjadi landasan untuk peningkatan kemahiran dalam bidang tenaga sekaligus membuka peluang bagi anak-anak tempatan untuk bersaing dalam arena globalisasi yang semakin mencabar.

“Penubuhan ECoS boleh dikatakan sebagai peristiwa bersejarah dan penting dalam penurunan kuasa sektor tenaga negeri Sabah yang membuktikan komitmen kerajaan negeri ke arah pentadbiran tenaga yang cekap, mampan dan berdaya harap.

“Adalah menjadi harapan saya agar kakitangan yang dilantik untuk mengendalikan operasi ECoS mengemudi landskap tenaga di Sabah dengan baik,” katanya.

Fungsi ECoS juga adalah untuk memastikan kecekapan tenaga kerja yang merangkumi pengurusan tenaga dari segi penjanaan, penghantaran dan pembahagian serta memastikan kelestarian tenaga di Sabah.

“Justeru, penubuhan ECoS memberi kerajaan negeri pendekatan proaktif dalam menyelaraskan dasar tenaga kita berdasarkan standard global dengan memperincikan keperluan khusus bagi mengecapi aspirasi jangka masa panjang rakyat Sabah.

“Penubuhan ECoS adalah diharapkan dapat memupuk persekitaran yang mana sumber tenaga digunakan secara optimum, menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta memastikan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Beliau menyatakan penubuhan pusat latihan bertauliah yang pertama di Sabah untuk program kekompetenan industri gas di Universiti Malaysia Sabah yang diusahakan bersama dengan pihak ECoS sebagai contoh.

“Ini adalah cerminan hasil daripada fokus ke atas pembangunan kemahiran modal insan yang dapat melahirkan pekerja mahir di kalangan anak-anak Sabah dan seterusnya memberikan peluang pekerjaan berkualiti tinggi selari dengan teras pembangunan industri sepertimana hala tuju Sabah Maju Jaya.

“Saya percaya usaha ini akan diteruskan lagi untuk membina kekompetenan di dalam bidang industri elektrik dan tenaga boleh baharu melalui perancangan yang sama ke arah penubuhan pusat latihan bertauliah di Sabah,” jelasnya.