KOTA KINABALU, SABAH – Negeri Sabah perlu memperkasakan usaha untuk menggunakan tenaga boleh baru bagi menjana tenaga lestari sekaligus dapat mengatasi masalah bekalan elektrik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata Sabah mempunyai kelebihan untuk menerokai dan menggunakan sumber tenaga boleh baharu.
Katanya, Sabah menerima radiasi solar tertinggi sebanyak 1,861 kWh/m2 berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
“Oleh kerana radiasi solar adalah relatif tinggi, tenaga suria fotovoltaik (PV) dianggap sebagai pilihan yang layak untuk negeri ini.
“Berdasarkan kajian oleh Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Sabah mempunyai kapasiti potensi sebanyak 99.4 GW yang boleh dihasilkan melalui tenaga suria PV,” katanya dalam perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri berkenaan Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 pada Rabu.
Amisah berkata Sabah juga mempunyai potensi tinggi dalam mengggunakan bio tenaga dari sisa-sisa hasil, terutamanya dari aktiviti kelapa sawit.
“Menurut SEDA, biojisim merupakan sumber bio tenaga terbesar di Sabah dengan kapasiti potensi sekitar 561 MW daripada lebih 26.2 juta tan biojisim dari ladang kelapa sawit.
“Memandangkan banyak lembah sungai di Sabah, negeri ini juga boleh memanfaatkan potensi untuk menghasilkan tenaga hidro, baik yang berskala kecil mahupun besar, dengan kapasiti potensi sebanyak 1.1 GW,” katanya.
Namun, Amisah menjelaskan, status quo sekarang ialah kerajaan persekutuan masih memberikan subsidi diesel bagi penjanaan elektrik pada kadar RM1.50 untuk 1 Kilowatt sejam.
Berbanding dengan tenaga boleh baru seperti tenaga hidro, solar, biojisim dan banyak lagi, ianya hanya memerlukan subsidi kos 31.5 sen untuk 1 Kilowatt sejam
Jumlah subsidi diesel untuk penjanaan elektrik adalah sebanyak RM1.27 Bilion iaitu 44 peratus daripada jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM2.89 Bilion dari tahun 2016 hingga 2021 kepada negeri Sabah.
“Kerajaan Persekutuan perlu mempercepatkan dan memastikan penurunan dana dan kelulusan seperti Projek Upper Padas Hydroelectric, Hulu Padas dan Sungai Maligan Hydropower, projek-projek solar walaupun selepas ini kerajaan negeri mengambil alih kawal selia berkaitan elektrik di Sabah,” tambah beliau.






