MASESA Agih 1,100 Bekas Bubur Ayam Dan Kurma Sepanjang Ramadhan

MASESA Agih 1,100 Bekas Bubur Ayam Dan Kurma Sepanjang Ramadhan

0
SHARE

PUTATAN, SABAH – Persatuan Mesra Alam Sekitar Sabah (MASESA) telah mengagihkan sebanyak 1100 bekas bubur ayam dalam program Projek Infaq Ramadan MASESA sebagai juadah berbuka puasa kepada orang awam sepanjang Ramadan ini.

Presiden MASESA, Ainie Jamin berkata pihaknya mengedarkan bubur ayam kepada orang awam di beberapa kampung di Tanjung Aru, Sembulan, Putatan dan Meruntum selain diagihkan di rumah orang tua, rumah anak yatim, asrama kolej dan beberapa surau.

Menurutnya, program yang dilaksanakan setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan itu merupakan salah satu pengisian aktiviti ahli MASESA dengan kerjasama pengagihan oleh sukarelawan luar dari pelbagai agensi dan persatuan badan bukan kerajaan lain (NGO).

Semua gerak kerja dalam penyediaan bubur dilakukan oleh ahli MASESA manakala pengagihan dilakukan oleh sukarelawan luar seperti Kelab Belia Kampung Meruntum, Angkatan Belia Putatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah, MSU College Sabah dan Angkatan Muda Putatan bagi tujuan menjalinkan silaturahim dalam aktiviti ini.

“Penghargaan istimewa dan ucapan terima kasih dari pihak kami kepada dua syarikat yang menyumbangkan bahan masakan bubut iaitu Jetsin Sdn Bhd yang telah menyumbangkan 50 kilo ayam kisar serta 20 kilo sayur campur dan BH Packaging Supplies yang menyumbangkan 1000 mangkuk kertas, sudu kayu dan bakul kertas yang merupakan produk berasaskan mesra alam…

“Ribuan terima kasih juga kami ucapkan kepada orang awam yang telah menyumbangkan kurma untuk diagihkan bersama bubur ayam sepanjang program ini.

“Di samping menjadikan program ini sebagai program tahunan pada bulan puasa, kami turut menjadikan program ini sebagai alternatif dan pemudah cara untuk orang ramai yang berhasrat ingin memberi sedekah berbentuk makanan berbuka puasa kepada golongan memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Ainie turut berkata pihaknya akan terus menggandakan usaha bagi meneruskan aktiviti agihan makanan secara meluas di mana tidak hanya terhad diagihkan ketika bulan Ramadan semata-mata.