KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki usulkan TIGA (3) cadangan penambahbaikan inisiatif i-Sinar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi permudahkan segala urusan rakyat yang sangat memerlukan bantuan kewangan ketika penularan wabak COVID-19 ketika ini.
Tiga (3) cadangan utama Pemuda UMNO adalah seperti berikut:
(i) Memansuhkan segala syarat yang menyusahkan pencarum yang ingin mengeluarkan wang simpanan mereka;
(ii) Mengurangkan karenah birokrasi dengan menyingkatkan tempoh untuk pemohon menerima bayaran pertama daripada 3 bulan kepada maksimum 1 bulan.
(iii) Memberikan pilihan kepada Ahli KWSP untuk mengeluarkan maksimum RM10,000 sekaligus (one-off) setelah permohonan diluluskan.
Hal ini susulan daripada pengumuman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkenaan inisiatif i-Sinar kelmarin telah mengundang pelbagai maklum balas di platform media sosial seperti Facebook dan juga aplikasi Whatsapp.
Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar KWSP tidak lagi cuba berdolak dalih dan segera melakukan tindakan korektif dan penambahbaikan.
Dalam pada masa yang sama, Pemuda UMNO terus komited dengan janji mereka sebagai pemantau kepada pelaksanaan i-Sinar ini dan akan terus membawakan segala suara hati dan aduan rakyat kepada Kerajaan.