KOTA KINABALU, SABAH – Hampir kesemua ahli Parti Cinta Sabah (PCS) dari segenap peringkat pimpinan bertindak untuk keluar parti hari ini.
Mereka diketuai Naib Presiden PCS Bahagian Ranau, Datuk Ewon Ebin yang memberitahu tentang tekanan aduan daripada pihak akar umbi berkenaan hala tuju parti tersebut.
Katanya, PCS telah mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah lalu dan semenjak itu tiada mesyuarat atau komunikasi diadakan antara Ahli Majli Tertinggi mahupun di peringkat Ketua Bahagian,Pemuda dan Wanita.
“Mengikut perancangan lama pada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan yang diadakan dahulu, pimpinan ketua-ketua bahagian sepatutnya dirombak semula dari peringkat dewan undangan negeri (DUN) sehinggalah kawasan Parlimen namun tidak pernah dilaksanakan…
“Ini mengakibatkan parti bergerak tanpa hala tuju dan pecahan kawasan yang sepatutnya. Tambahan pula, borang permohonan ahli baru tidak diproses.
“PCS langsung tiada mengadakan aktiviti bagi mengeratkan hubungan antara ahli dan penyokong pada dasar akar umbi,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Ewon berkata meskipun demikian, keputusan itu dilakukan dengan berat hati kerana mereka semua menyayangi PCS dan telah menaruh harapan kepada parti tersebut.
“Tapi kita kena ‘move on’ dengan rancangan yang lain. Mungkin kami akan kembali ke PCS jika masanya tepat, tetapi buat masa ini cukuplah untuk berkata perjuangan kami tidak berakhir di sini,” tambahnya.
Langkah keluar beramai-ramai itu turut disertai semua Ahli Majlis Tertinggi PCS (2018-2020), termasuk bekas penyelaras pemimpin Bahagian dan Ahli Jawatankuasa Pusat kedua-dua sayap Wanita dan Pemuda parti.
Ewon berkata lebih ramai ahli PCS daripada pelbagai peringkat terlebih dahulu telah keluar mengikut parti yang lain dan beliau menjangka lebih ramai akan meninggalkan parti dalam masa yang terdekat.