Pelaksanaan PKPD Terhadap 5 Lokaliti Di Sabah Bermula 28 Jun Sehingga 11...

Pelaksanaan PKPD Terhadap 5 Lokaliti Di Sabah Bermula 28 Jun Sehingga 11 Julai

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak LIMA (5) lokaliti di negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 28 Jun sehingga 11 Julai.

“Kawasan ini termasuk Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, Kilang Sawit Bell (termasuk perumahan), Kinabatangan, Kampung Tuunon, Penampang, Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat, dan Kampung Jawi-Jawi di Kota Belud,” demikian menurut Jurucakap COVID-19 negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan malam tadi.

Pada masa yang sama, Masidi turut memaklumkan Sabah mencatatkan peningkatan 33 kes yang membawa kepada 186 jumlah kes baharu positif COVID-19 pada kelmarin, (Sabtu).

Menurutnya, satu (1) kluster baharu direkodkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 26 Jun 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

“Kluster Tembok mula dikesan apabila kes indeks, banduan lelaki yang dibawa masuk dari Lokap IPD Lahad Datu ke blok kuarantin di Blok Ehsan pada 11 Jun dan disahkan positif dalam saringan hari ke-10 (pada 21 Jun)…

“Saringan sama turut merekodkan tiga (3) lagi kes positif dalam kalangan penghuni sel terbabit pada hari berikutnya.

“Berikutan penemuan itu, saringan kontak rapat yang dijalankan terhadap 61 warga tembok sehingga 23 Jun mendapati lima (5) lagi kes positif terdiri daripada tiga (3) warden dan dua (2) banduan,” katanya.

Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster berkenaan sebanyak sembilan (9) kes.

Dalam perkembangan lain, 10 kilang di Tawau didapati tidak mematuhi SOP kehadiran 60 peratus tenaga kerja sektor perkilangan dan telah dikompaun oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dalam sebuah pemeriksaan mengejut.

Operasi dua minggu tersebut dilaksanakan selaras dengan arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah turut meliputi daerah Lahad Datu.

Operasi melibatkan gabungan agensi Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD), Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan Jabatan Imigresen.

Datuk Masidi Manjun…

“Sebanyak 30 kilang diperiksa di daerah Tawau. Manakala di daerah Lahad Datu 36 buah kilang telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati semua kilang ini mematuhi peraturan ini…

“Hanya sebuah kilang dimana pekerjanya seramai empat (4) orang telah dikompaun oleh KKM di bawah Peraturan 17 atas sebab gagal memakai pelitup muka di tempat kerja,” Masidi berkata lagi.