Inkues Zara Qairina: Saksi Dedah Arwah Menangis Kuat Nafikan Tuduhan Curi

Inkues Zara Qairina: Saksi Dedah Arwah Menangis Kuat Nafikan Tuduhan Curi

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner hari ini memasuki hari ke-12 dengan keterangan saksi kanak-kanak pertama iaitu pelajar A yang selesai memberikan keterangannya.

Peguam mewakili ibu Zara, Shahlan Jufri, dalam sidang media selepas prosiding berkata, saksi tersebut menceritakan bahawa pada malam 15 Julai 2025, arwah telah dipanggil ke sebuah dorm lain oleh pelajar senior untuk disiasat berhubung kes kecurian. 

“Setelah selesai disiasat di dorm lain Zara masuk balik ke bilik dia dan menangis, menangis dengan kuat serta menjerit menafikan yang dia mencuri.

“Adalah perkataan yang arwah Zara gunakan untuk menafikan perkara tu dan kesemua ahli dorm mengikut saksi ini melihat Zara menangis sebab dia dituduh mencuri dan tidak ada ahli ahli dorm yang menenangkan Zara ketika itu, dan pada masa itu kesemua ahli ahli dorm lagi masih belum tidur,” katanya.

Menurut keterangan saksi, kejadian itu berlaku sekitar jam 9 hingga 10 malam, ketika semua penghuni dorm masih belum tidur. Selepas itu, saksi terbabit tidak lagi melihat Zara kerana dia sendiri masuk tidur.

Jelasnya lagi, kecurian berkenaan turut melibatkan seorang pelajar Tingkatan 1 lain yang dipanggil bersama Zara untuk disoal siasat.

Shahlan memaklumkan bahawa saksi kanak-kanak pertama hadir bersama ayahnya, manakala saksi kedua pula didampingi ibunya.

Prosiding esok dijangja akan mendengar sambungan keterangan daripada saksi kanak-kanak kedua dan berkemungkinan dua lagi saksi kanak-kanak tambahan akan dipanggil pihak pendakwaan.