KOTA KINABALU: Ketua PKR Kimanis, Niki Ramday mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusof, supaya melepaskan jawatannya sebagai ahli lembaga MARDI sekiranya Parti Warisan benar-benar menolak Kerajaan Perpaduan.
“Jika Warisan benar-benar menolak Kerajaan Perpaduan, Dr Daud perlu meletakkan jawatan daripada jawatan dalam MARDI,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, kenyataan berterusan Warisan yang menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil pemimpin atau keluarga mereka masih memegang jawatan dalam kerajaan adalah sikap hipokrit.
“Warisan tidak boleh bercakap dengan dua lidah. Di depan rakyat mengkritik Kerajaan Perpaduan, tetapi dalam masa sama masih menikmati jawatan dalam kerajaan,” katanya.
Niki turut menyokong kenyataan PKR Tuaran yang diketuai Razeef Rakimin agar Warisan menarik diri daripada kerajaan pusat susulan serangan politik Datuk Seri Shafie Apdal terhadap pentadbiran MADANI.
“Malaysia MADANI menuntut kesatuan dan kejujuran dalam politik, bukan hipokrasi.
“Jika Warisan serius dengan pendirian menolak kerajaan, pemimpin mereka harus berani melepaskan jawatan tanpa berlengah,” katanya.






