Gangguan Bekalan Air Di Sepanggar Dan Sekitarnya Dijangka Pulih Menjelang Tahun 2023...

Gangguan Bekalan Air Di Sepanggar Dan Sekitarnya Dijangka Pulih Menjelang Tahun 2023 – Bung

0
SHARE

TAMPARULI, SABAH – Gangguan bekalan air yang dialami oleh penduduk di kawasan Sepanggar, Unversiti Apartment, Bandar Sierra, Taman Rimba Manggatal dan sekitarnya dijangka pulih selepas Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2023.

Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Bung Moktar Radin berkata, projek itu bakal meningkatkan kapasiti 160 juta liter sehari (MLD) berbanding 80 juta MLD ketika ini.

“Projek ini tertangguh dari jadual asal penyiapannya, pihak kontraktor telah pun diberikan pelanjutan masa untuk menyiapkanya dan berharap ianya dapat disiapkan seawal tahun 2023 agar isu gangguan bekalan air di Sepanggar dan sekitarnya dapat ditangani segera,” katanya ketika dtemui selepas mengadakan lawatan mengejut bagi melihat kemajuan pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 kelmarin.

Turut serta Pengarah Air Negeri Sabah Edward Lingkapo, Pegawai-Pegawai kanan Jabatan Air dan Konsultan projek berkenaan.

Bung diberikan penjelasan oleh Pengarah Air Edward Lingkapo ketika melawat Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2…

Bung berkata beliau ingin melihat projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Kita bukan mendesak kontrator pelaksana, kita faham dalam situasi sekarang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan adalah antara kekangan yang dihadapi oleh kontrator, namun jangan jadikan ini sebagai alasan projek ini tidak menampakkan kemajuan pelaksanaanya,” tegas Bung.

Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, kapasiti sedia ada ketika ini tidak dapat menampung keperluan air bersih yang meningkat berikutan pertumbuhan pesat bandar raya Kota Kinabalu menyebabkan ada kawasan berdepan dengan gangguan air.

“Selain itu, antara faktor lain menyebabkan gangguan ialah pembinaan projek-projek pembangunan seperti projek jalan raya Pan Borneo, kecurian air dan masalah pencemaran air sungai di Tuaran di mana apabila keadaanya airnya keruh, ianya tidak dapat diproses,” tambah Bung.

Bung bersama Edward ketika melawat projek pembinaan Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 yang beliau sifatkan agak perlahan…
Bung diiringi oleh Edwrad dan pegawai pegawai kanan Jabatan Air dan pihak Konsultan ketika melawat Kolam Takungan di Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2…

Bagi mengatasi masalah air keruh yang tidak dapat diproses, Bung menjelaskan Kementerian Kerja Raya akan melaksanakan projek Pembinaan kolam takungan air di mana ini merupakan antara langkah penyelesaian jangka masa panjang bagi mengatasi masalah gangguan air di negeri ini.

“Seperti Projek Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 ini, kita mempunyai dua kolam takungan Air di mana ini boleh mengatasi masalah air keruh yang tidak dapat diproses atau ketika musim kemarau air akan di salurkan dari kolam takungan,” katanya

Menurut Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, pembinaan kolam takungan air akan diperluaskan di beberapa buah daerah di Sabah antaranya Beaufort, Pitas, Sipitang dan lain-lain daerah.

“Kita akan perincikan rancangan pembinaan ini untuk memohon peruntukan dari kerajaan di mana langkah ini adalah langkah jangka masa panjang untuk mengatasi masalah gangguan air yang berlaku di seluruh Sabah,” tambah Bung