KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) menyelar kenyataan Datuk Seri Shafie Apdal selepas membuat penafian kononnya punca COVID-19 mencanak naik di Malaysia ketika ini bukanlah berpunca dari Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah pada Sept 2020.
Datuk Seri Shafie Apdal membuat penafian tersebut selepas menghadiri program bual bicara secara maya pada Rabu lalu.
Untuk rekod, Shafie telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada bulan Julai 2020 selepas belasan wakil rakyat dari Parti Warisan, PKR dan DAP telah mengisytiharkan menarik sokongan mereka kepada Shafie susulan kegagalan membangunkan ekonomi negeri Sabah.
Shafie turut menyatakan pelbagai langkah diambil ketika beliau menjadi Ketua Menteri untuk mengatasi COVID-19 termasuk menyekat penerbangan dari negara lain seperti dari Wuhan, China ketika beliau masih menjadi Ketua Menteri Sabah.
Jurucakap BEBAS, Bahar Palembang dalam satu kenyataan menyatakan Shafie Apdal jelas telah berbohong dan kami ingin mengiktiraf beliau sebagai seorang pemimpin “PEMBOHONG”.
“Kami ingin mencabar beliau untuk berdebat dan akan menghantar surat jemputan kepadanya untuk ajak berdebat…
“Debat juga boleh diadakan secara maya,” menurut Bahar lagi.
Bahar berkata; “kajian terkini pada bulan Mei yang dijalankan oleh Saw Swee Hock School of Public Health Universiti Kebangsaan Singapura juga jelas menunjukkan COVID-19 mencanak naik di Malaysia adalah berpunca daripada aktiviti Pilihan Raya di Sabah yang merujuk kepada Pilihan Raya Negeri kali ke-16 (PRN-16).”
Menurut kajian tersebut sejak 10 Jun hingga hari mengundi pada 26 September tahun lalu, terdapat hanya sekitar 16 kes baru sehari di Malaysia.
Walau bagaimanapun selepas 17 hari iaitu selepas PRN hingga penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jumlah kes meningkat kepada 190 kes sehari, dengan kira-kira 154 kes dilaporkan di Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada bulan Okt 2020 juga mengeluarkan kenyataan tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyumbang kepada gelombang ketiga penularan COVID-19.
“Shafie juga mungkin lupa apabila mencadangkan pesakit Covid-19 juga boleh mengundi, malahan sanggup mati daripada membatalkan PRN di Sabah.”
Pemimpin kanan Parti Warisan yang juga bekas Menteri Pelancongan Malaysia Datuk Mohamaddin Ketapi turut menyifatkan wabak pandemik COVID-19 adalah satu lagi ‘sandiwara’ untuk menakutkan rakyat Sabah untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), malahan berkata kes COVID-19 akan turun sebaik sahaja PRN selesai.
VIDEO Mohamaddin Ketapi berkata kes COVID-19 adalah satu penipuan dan yakin selepas PRN berakhir kes akan menjadi KOSONG (SIFAR) di Sabah…
Justeru jika merujuk kepada kajian Saw Swee Hock School of Public Health Universiti Kebangsaan Singapura, masalah yang dihadapi oleh seluruh rakyat Malaysia akibat COVID-19 ketika ini adalah jelas berpunca dari kesilapan Shafie membubarkan DUN Sabah.