
KOTA KINABALU, SABAH – Kes baharu positif COVID-19 di Sabah menunjukkan penurunan 62 kes dari hari sebelumnya (Ahad) yang mana membawa jumlah kes keseluruhan kepada 273 KES kelmarin, Isnin.
Satu kematian juga dilaporkan di daerah Beaufort dan tiada kluster baharu dilaporkan setakat kelmarin.
Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk memperketatkan kawalan di perairan Sabah.
“Ini adalah bagi mengelak penyeludupan daripada Wilayah Persekutuan Labuan…
“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin akan menambah aset untuk kelancaran gerakan ini,” katanya.
Sementara itu, DUA (2) lokaliti di Penampang diperkenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan Country Heights Apartment dan Vista Minintod Apartment bermula 16 Jun sehingga 29 Jun.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh dua (2) minggu apabila sebanyak 18 kes positif telah direkodkan daripada 25 yang disaring di Country Heights Apartment dan 14 kes positif di Vista Minintod Apartment hasil daripada saringan ke atas 21 orang,” jelas Masidi.
Kampung Skim Cocos di Kunak turut berdepan pelaksanaan yang sama selepas peningkatan kes yang ketara dalam tempoh seminggu ini di mana 10 kes positif telah direkodkan dari 24 ujian saringan yang dijalankan dengan kadar positiviti 42 peratus (42%).
Dalam pada itu, sebanyak 102 kompaun melanggar SOP COVID-19 juga telah dikeluarkan seluruh Sabah.
Di samping itu, sukan bersifat kecergasan kendiri tanpa sentuhan fizikal terhad kepada ‘jogging’ dan senaman individu dibenarkan dari 6 pagi hingga 7 petang di kawasan kediaman masing-masing.

Masidi berkata penjarakan fizikal mesti diamalkan sepanjang masa aktiviti bersukan tersebut.
Atlet Program Sukan Malaysia (SUKMA) dibenarkan kembali berlatih namun mematuh pada kaedah “Camp Base Quarrantine”.
“Bagi tempoh masa lanjutan PKP (15 Jun hingga 28 Jun) hotel dan penginapan dibenarkan beroperasi, tapi bukan bagi tujuan pelancongan…
“Pasar awam dan harian turut dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 3 petang, manakala pasar borong dari 12 pagi hingga 6 pagi. Tetapi pasar minggu, tani, tamu dan malam masih dilarang,” katanya.