KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan menyuarakan sokongan terhadap kebimbangan yang dibangkitkan oleh Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berhubung perjalanan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sambil menyeru agar gabungan itu kembali ke landasan asalnya.
Menurut Jeffrey, suara Pandikar sebagai seorang pemimpin senior yang lama berkhidmat demi Sabah perlu diberi perhatian serius, dan beliau bersetuju dengan banyak perkara yang dibangkitkan, khususnya mengenai kurangnya kerjasama dan konsultasi bermakna antara parti-parti komponen GRS.
“GRS mesti berfungsi dengan lebih baik sebagai satu gabungan. Setiap parti, walaupun tidak mempunyai kerusi, wajar dihormati dan diberi ruang untuk bersuara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan pemimpin muda yang mengkritik pemimpin senior secara terbuka adalah tidak wajar dan menjejaskan integriti gabungan.
Katanya, segala isu dalaman seharusnya disalurkan melalui Majlis Kepimpinan GRS secara teratur dan penuh hormat.
Jeffrey turut mengingatkan bahawa GRS ditubuhkan atas semangat menyatukan semua parti berasaskan Sabah, dan semangat itu harus terus dipelihara.
Beliau mencadangkan agar semua parti komponen diberikan peranan yang jelas atau digilirkan, termasuk parti yang belum memenangi kerusi.
“Tiada parti harus dijadikan hiasan,” tegasnya.
Dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), beliau menuntut agar GRS menyatakan pendirian dengan jelas mengenai kerjasama di peringkat Persekutuan.
Rakyat, katanya, berhak tahu sama ada GRS akan bertanding secara bebas di kesemua 73 kerusi atau akan mengikat diri dengan mana-mana blok politik di Putrajaya.
Beliau juga menggesa agar satu Mesyuarat Perpaduan Sabah diadakan dengan melibatkan semua parti berasaskan Sabah, bukan hanya parti dalam GRS, bagi membincangkan hala tuju politik negeri dan usaha mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan.
Jeffrey turut mencadangkan agar Majlis Kepimpinan GRS diadakan secara berkala bagi menangani isu dalaman secara tersusun dan terbuka.
Selain itu, beliau mahu supaya peranan rasmi atau bergilir diberikan kepada setiap parti dalam GRS, dan supaya pendirian berhubung pakatan persekutuan diumumkan sebelum PRN17.
Beliau menegaskan bahawa kenyataannya bukan bersifat peribadi atau berkait kedudukan, sebaliknya demi memulihkan kestabilan dan keutuhan gabungan itu.
“Kita perlu perbetulkan kelemahan dalaman sebelum kita hilang mandat yang diberikan rakyat. Ini bukan soal ego atau jawatan. Ini soal integriti dan arah tuju gabungan,” tegasnya lagi.