KOTA KINABALU: Golongan pekerja di Sabah bakal menikmati perlindungan pekerjaan yang lebih luas dan progresif apabila pindaan terhadap Ordinan Buruh Sabah 2004 mula dikuatkuasakan tahun ini.
Melalui Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025, kerajaan negeri menyelaraskan perundangan buruh negeri dengan Akta Kerja 1955 yang digunapakai di Semenanjung, menjadikan peruntukan perlindungan pekerja lebih menyeluruh dan moden.
Pindaan ini memperluas skop ordinan kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji.
Sebelum ini, hanya pekerja bergaji bulanan RM2,500 dan ke bawah atau yang berada dalam kategori tertentu seperti buruh dan kerani sahaja dilindungi.
Antara perubahan ketara yang diperkenalkan ialah cuti bersalin yang dipanjangkan kepada 98 hari, serta pengenalan cuti paterniti berbayar selama tujuh hari bagi bapa yang layak.
Pindaan juga mewajibkan majikan menyiasat aduan gangguan seksual di tempat kerja, selain mewujudkan larangan diskriminasi terhadap pekerja wanita dari segi pengambilan, latihan, dan bayaran gaji.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuhkan hak pekerja dan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih adil dan selamat,” menurut kenyataan Jabatan Tenaga Kerja Sabah.
Turut diperkenalkan ialah kemudahan kerja fleksibel di mana pekerja boleh memohon pengaturan waktu kerja alternatif, tertakluk kepada kelulusan majikan.
Ordinan yang dipinda itu juga menetapkan had waktu kerja maksimum kepada 45 jam seminggu.
Buat pertama kali, undang-undang ini turut memperakui status pekerja gig dan kontrak untuk perkhidmatan, memberi mereka akses kepada perlindungan tertentu yang sebelum ini tidak tersedia.
Majikan juga tidak lagi boleh mengelak tanggungjawab dengan menggunakan khidmat perantara atau syarikat luar bagi tugasan utama.
Dalam masa sama, pindaan itu memperketat peraturan pemotongan gaji, yang kini memerlukan kebenaran bertulis daripada pekerja kecuali bagi potongan yang dibenarkan undang-undang seperti KWSP dan PERKESO.
Jabatan Tenaga Kerja Sabah dijangka melaksanakan sesi penerangan dan latihan kepada pihak majikan dan pekerja dalam tempoh terdekat bagi memastikan pelaksanaan pindaan ini berjalan lancar menjelang tarikh kuat kuasa rasmi.






