Wanita Gagasan Rakyat Likas Aktif Kenal Pasti Pengundi Kawasan

Wanita Gagasan Rakyat Likas Aktif Kenal Pasti Pengundi Kawasan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jentera Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) telah diseru untuk memulakan gerak kerja aktif dalam usaha mengenal pasti pengundi di seluruh kawasan, bagi memastikan tiada masalah keciciran data pengundi.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din, berkata bahawa usaha ini merupakan langkah penting yang perlu dimulakan lebih awal dan dilaksanakan secara konsisten untuk mengelakkan sebarang masalah pada hari pengundian kelak.

“Jentera kita telah mula bekerja, dan apa yang saya tekankan khususnya untuk sayap Wanita bahagian ini adalah untuk peka terhadap kawasan sekeliling dan bergerak secara aktif memastikan setiap kenalan di kiri dan kanan kita berdaftar sebagai pengundi dalam daftar pemilih yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Wanita Gagasan Rakyat Likas yang diadakan hari ini.

Menurut Halizah, jentera wanita Likas juga sentiasa terbuka untuk membantu jentera bagi kawasan-kawasan sekitar yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

Dalam pada itu, Halizah turut menyeru semua jentera wanita Likas untuk berusaha menambah bilangan keahlian di peringkat cawangan.

“Penting untuk kita konsisten dalam usaha menambah bilangan ahli kerana ini adalah bukti kekuatan dan kepercayaan rakyat terhadap Gagasan Rakyat. Bukan hanya sayap Wanita, bahkan sayap Pemuda dan Beliawanis juga berusaha keras untuk memperluaskan keahlian di semua cawangan, demi menyumbang kepada pertambahan bilangan ahli parti secara keseluruhan,” jelasnya.

Selain itu, Halizah turut memberitahu bahawa jentera Wanita Likas akan terus menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri dalam usaha membawa pembangunan kepada seluruh negeri Sabah dan rakyatnya.

“Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, terbukti telah menunaikan janji-janji mereka. InsyaAllah, semua usaha ini pasti dapat disusun atur dan direalisasikan dengan sebaiknya.

“Lihat sahaja perubahan yang berlaku selepas kepimpinan Kerajaan Negeri bertukar, pelbagai insentif dan usaha telah dilaksanakan untuk membantu rakyat Sabah dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Untuk itu, wajar jika kita semua meletakkan keyakinan serta kepercayaan kepada parti dan Ketua Menteri kita, Datuk Seri Hajiji Noor, yang sememangnya merupakan seorang figura pemimpin yang penuh dengan sopan santun dan berhemah dalam setiap tutur langkahnya,” katanya.

Halizah juga menyeru masyarakat agar tidak terpedaya dengan dakyah negatif yang disebarkan oleh pihak pembangkang melalui media sosial.

“Media sosial memang mempunyai kebaikan, namun ia juga ada keburukannya. Terdapat pihak yang menggunakan platform ini sebagai wadah untuk ‘membentuk’ pemikiran rakyat agar menjadi negatif terhadap usaha Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, kita sebagai rakyat perlu berfikiran terbuka, matang, dan menilai dengan bijak setiap isu atau idea yang dibangkitkan di media sosial, bagi mengelakkan diri kita menjadi mangsa perjuangan politik yang mementingkan diri sendiri,” ujar Halizah.