PENAMPANG: Polis mengesahkan video klip buaya yang tular di media sosial dipercayai dirakam berhampiran sebuah ladang penternakan buaya berlesen dan bukan ancaman kepada keselamatan awam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan susulan di sebuah ladang penternakan buaya di kawasan Penampang selepas menerima maklumat mengenai video berdurasi satu minit itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati ladang berkenaan beroperasi secara sah serta memiliki lesen penternakan dan lesen jual beli daging buaya yang dikeluarkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta sentiasa menyebarkan maklumat yang tepat dan bertanggungjawab.
Menurutnya, IPD Penampang akan terus komited memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.






