Pindah Minyak Ke Kereta Sorong, Warga Asing Didenda RM300,000

Pindah Minyak Ke Kereta Sorong, Warga Asing Didenda RM300,000

0
SHARE

SEMPORNA, SABAH – Seorang lelaki warganegara asing tanpa dokumen pengenalan diri telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau kerana memindahkan barang kawalan iaitu minyak petrol sebanyak 500 liter dari tempat yang dilesenkan iaitu Stesen Minyak Petron, Semporna ke premis yang tidak dilesenkan iaitu tiga buah kereta sorong miliknya sendiri.

Hakim Mahkamah Sesyen Tawau, Yang Arif Tuan Awang Kerisnada Awang Mahmud telah menjatuhkan hukuman denda tersebut dan 18 bulan penjara selepas tertuduh iaitu Abdul Rajul Diliun mengaku bersalah.

Minyak petrol itu dipercayai dibawa oleh tertuduh ke Kampung Air, Semporna, untuk tujuan urusniaga…

Mahkamah juga telah memerintahkan agar barang kes iaitu minyak petrol berjumlah 500 liter dan tiga buah kereta sorong terbabit diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Semporna untuk dilupuskan.

Pendakwaan bagi kes ini telah dikendalikan oleh Malai Rosidi Malai Muhamad, Pegawai Pendakwa, KPDNHEP Cawangan Semporna, Sabah.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah, Jong Jee Leong menasihati supaya mana-mana orang yang menjalankan apa-apa perdagangan atau perniagaan dan ada dalam milikannya kuantiti minyak petrol melebihi 20 liter untuk membuat permohonan secara bertulis kepada Pengawal Bekalan bagi mendapatkan permit atau permit khas.

Dalam satu kenyataan hari ini, pejabat KPDNHEP Negeri Sabah amnya dan KPDNHEP Cawangan Semporna khasnya mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Semporna yang telah memberikan kerjasama yang erat serta merupakan pasukan serbuan bagi kes terbabit.