KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa anugerah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan bukan untuk dijual atau dilobi, sebaliknya hanya layak diberikan kepada individu yang benar-benar berjasa kepada negara dan kerajaan.
“Gelaran Datuk dan Tan Sri bukan untuk dijual. Kalau ada duit banyak, buat amal, bantu orang susah,” titah baginda pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran sempena sambutan hari keputeraan rasmi di Istana Negara, semalam.
Baginda turut menegaskan akan menilai semula setiap calon yang dicadangkan walaupun syarat telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Tidak ramai yang lulus setiap tahun, dan walaupun ada yang melobi, saya tidak akan layan,” titahnya.
Memetik Bernama, Baginda turut menyeru penerima agar menghargai anugerah yang dikurniakan dan menganggapnya sebagai satu amanah.
Turut hadir Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta menteri-menteri kabinet.
Sultan Ibrahim turut merakam penghargaan kepada rakyat atas doa dan sokongan dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Utama Negara.
“Marilah kita berdoa agar Malaysia terus diberkati, aman, maju dan makmur,” titah baginda.






