KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan yang dilantik sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan mengangkat sumpah jawatan di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Beliau menerima watikah pelantikan dan melafazkan ikrar jawatan di hadapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin.
Turut hadir menyaksikan istiadat itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Speaker DUN, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M.Yahya,
Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Dr Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong, Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Yang Arif Datuk Ismail Brahim.
Sebelum dilantik sebagai Pembantu Menteri, Fairuz merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Negeri.