Pendakwaan Kelima Dalam Seminggu: Seorang Lagi PTI Curi Elektrik Dipenjara, Gagal Bayar...

Pendakwaan Kelima Dalam Seminggu: Seorang Lagi PTI Curi Elektrik Dipenjara, Gagal Bayar Denda RM188,000

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lagi pendatang tanpa izin (PTI) dipenjara lapan bulan selepas gagal membayar denda keseluruhan RM188,000 kerana mencuri dan menjual bekalan elektrik secara haram, menjadikan ia pendakwaan kelima berjaya dicatatkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dalam tempoh seminggu.

Tertuduh, Laken Jiram dari Kampung Kagayan, Sandakan, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sandakan atas beberapa kesalahan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Selain dipenjara, beliau turut akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut termasuk proses pengusiran.

Pendakwaan itu dibuat susulan Operasi Bersepadu yang dijalankan pada 1 hingga 3 Julai lalu di beberapa penempatan setinggan di Sandakan membabitkan kerjasama ECoS, Sabah Electricity (SE), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ir. Ts. Ridwan Saham berkata, kejayaan lima pendakwaan dalam tempoh seminggu membuktikan keberkesanan kerjasama antara agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan mencuri dan menjual bekalan elektrik secara haram.

ECoS akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan di seluruh Sabah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam kegiatan ini kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengancam keselamatan awam serta boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik,” katanya.

Setakat ini, lima individu berjaya didakwa hasil operasi berkenaan iaitu Zaini Mubin, Sumailah Cuba, Laken Jiram, Ahmad Safuan Baharuddin dan Asis Cengkuru.