Peguam Keluarga Zara Qairina Mohon Pendakwaan Ditangguhkan, Bimbang Tuduhan Terlalu Ringan

Peguam Keluarga Zara Qairina Mohon Pendakwaan Ditangguhkan, Bimbang Tuduhan Terlalu Ringan

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Barisan peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina merayu agar Peguam Negara menangguhkan prosiding pendakwaan terhadap lima remaja yang bakal didakwa berhubung kes buli pelajar berusia 13 tahun itu.

Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, pasukan peguam tersebut mendedahkan bahawa kelima-lima remaja berkenaan difahamkan akan dituduh di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli.

Namun, mereka berpendapat tuduhan tersebut terlalu ringan berbanding dengan fakta kes dan keseriusan insiden yang berlaku.

Menurut peguam utama, Hamid Ismail bersama rakan-rakannya, pihak mereka memohon agar pertuduhan dikaji semula supaya remaja berkenaan didakwa di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan yang membawa kesalahan lebih berat.

“Sekiranya keterangan sedia ada tidak mencukupi, kami berharap siasatan lanjut diteruskan ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguhkan buat sementara waktu. Namun, jika hasil siasatan kemudian membuktikan kesalahan yang lebih berat daripada 507D(2), kami merayu agar pendakwaan dibuat berdasarkan kesalahan yang lebih serius,” katanya.

Peguam keluarga turut melahirkan kebimbangan sekiranya pendakwaan diteruskan mengikut Seksyen 507C(1) dan semua tertuduh mengaku bersalah lebih awal, ia akan menyukarkan pihak berkuasa untuk mendakwa semula mereka atas kesalahan yang lebih berat pada masa akan datang.

“Sekiranya selepas ini inkues atau siasatan lanjut membuktikan adanya asas kukuh untuk tuduhan lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa kerana terikat dengan prinsip double jeopardy yang termaktub dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” jelas kenyataan itu.

Bagi tujuan tersebut, pasukan peguam telah menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara pagi ini melalui emel untuk mempertimbangkan rayuan berkenaan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh barisan peguam Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.