Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Barisan peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Peguam Negara untuk mendakwa beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes buli membabitkan remaja berusia 13 tahun itu.
Dalam kenyataan media bersama pada Isnin, para peguam menyambut baik langkah tersebut dan menyifatkannya selaras dengan cadangan mereka kepada Jabatan Peguam Negara sebelum ini.
“Kami pernah mencadangkan agar pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, memandangkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum ini mendedahkan bahawa wujud keterangan yang menjurus kepada perbuatan buli sebelum kejadian menimpa Zara,” jelas kenyataan itu.
Seksyen 507D(2) menetapkan bahawa jika provokasi tersebut menyebabkan individu yang diprovokasi, cuba membunuh diri atau benar-benar membunuh diri, maka pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Menurut mereka, sehingga kenyataan tersebut dikeluarkan, pihak peguam masih belum dimaklumkan mengenai identiti individu yang akan didakwa serta peruntukan undang-undang yang bakal digunakan.
Bagaimanapun, mereka berharap pertuduhan yang dikemukakan kelak dapat dikaitkan secara langsung dengan kematian Zara Qairina, agar hukuman berat dapat dikenakan terhadap mereka sekiranya disabitkan kesalahan.
Kenyataan media itu dikeluarkan atas nama lima orang peguam mewakili keluarga arwah iaitu Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.






