ESSCOM Komited Angkat Semula Imej ESS ZONE Sebagai Kawasan Kesejahteraan

ESSCOM Komited Angkat Semula Imej ESS ZONE Sebagai Kawasan Kesejahteraan

0
SHARE
Gambar Hiasan

KINABATANGAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) komited mengangkat semula imej Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) sebagai kawasan selamat dan sejahtera ke peringkat antarabangsa.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos menzahirkan komitmen tersebut semasa berucap merasmikan Sesi Libat Urus ESSCOM bersama komuniti ESS Zone Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag, Rabu lalu.

“ESSCOM telah mengangkat cadangan kepada kerajaan untuk menukar peta ESS Zone yang kini menggunakan warna merah kepada warna putih dan menamakannya sebagai kawasan kesejahteraan bagi meningkatkan keyakinan bahawa kawasan Pantai Timur Sabah adalah selamat untuk semua. 

“Selain itu, di pihak ESSCOM juga kita berusaha memanggil duta-duta asing datang melawat ke kawasan pantai Timur Sabah dan merasai sendiri keindahan dan kesejahteraan di ESS Zone,” katanya.

Kira-kira 300 warga Kinabatangan hadir menjayakan sesi libat urus tersebut.

Tujuannya adalah untuk meneliti penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor perdagangan, perniagaan, perikanan, pelancongan serta pendidikan terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada PKP ESS Zone Sabah, menganalisis keberkesanan pelaksanaan arahan tersebut, mengenal pasti ancaman sedia ada dan mengkaji hala tuju dari segi pengecilan kawasan PKP ESS Zone Sabah atau memansuhkan perintah tersebut secara menyeluruh atau hybrid. 

Seterusnya, kajian ini akan turut meneliti mekanisme alternatif bagi menggantikan arahan tersebut sekiranya diputuskan untuk dimansuhkan pelaksanaannya.

Sehubungan itu, Victor mengajak warga Kinabatangan yang hadir ke sesi libat urus itu supaya menjawab soal selidik mengenai kajian PKP ESS Zone Sabah sebaik mungkin agar kajian yang dijalankan mendapat hasil yang komprehensif demi manfaat bukan saja Sabah tapi Malaysia amnya.

Selain Kinabatangan, kajian PKP ESS Zone Sabah yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri, diselaraskan oleh ESSCOM dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah turut diadakan di lima lagi daerah terlibat, iaitu Semporna, Sandakan, Beluran, Kunak dan Lahad Datu.