PENNSYLVANIA – Seorang lelaki dipenjara 11 hingga 23 bulan kerana memukul dan mencekik ibunya berusia 70 tahun selepas warga emas terbabit menukar saluran televisyen.
Memetik kenyataan Harian Metro, pendakwa raya Northampton County memberitahu akhbar The Morning Call, David Cantrell, 42, berang selepas tidak dapat menonton rancangan komedi diminatinya, bertajuk ‘Cool Runnings.’
Hukuman yang dijatuhi itu empat bulan lebih lama daripada yang diminta pendakwa raya, dipercayai kerana hakim merasakan Cantrell tidak menyesali perbuatannya itu.
Cantrell juga akan diletakkan di bawah pemerhatian selama enam tahun.
Menurut peguam, ibu Cantrell sekarang tinggal di rumah penjagaan dan menderita akibat demensia, tetapi masih mahu berhubung dengan anaknya.
Dalam kejadian itu, Cantrell mengaku menumbuk ibunya di mulut dan badan sebelum mencekiknya sambil berkata “Saya harap awak mati.”