Remaja Perempuan Dilapor Hilang Sejak 28 November, Polis Minta Bantuan Orang Ramai

Remaja Perempuan Dilapor Hilang Sejak 28 November, Polis Minta Bantuan Orang Ramai

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Kampung Likas sejak 28 November lalu.

Individu dikenali sebagai Dayang Noor Asiyah Nahal @ Nahar, berbangsa Bajau, mempunyai susuk badan kurus, berkulit cerah, bermata hitam, berkening nipis serta berambut panjang paras pinggang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda memaklumkan, mangsa dipercayai keluar dari biliknya kira-kira jam 11.00 malam pada hari kejadian tanpa pengetahuan ahli keluarga.

“Siasatan awal keluarga mendapati remaja berkenaan sering berkunjung ke kawasan Inanam Taipan. Usaha mencari telah dijalankan, namun mangsa masih belum ditemui sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi atau penemuan remaja tersebut untuk tampil membantu siasatan.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Insp Luzee Irine Stephen di talian 014-786 9365, IPD Kota Kinabalu di 088-529222, atau melaporkan ke mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Polis menzahirkan penghargaan atas kerjasama serta keprihatinan orang awam dalam usaha mengesan remaja berkenaan.