Vaksin Tetap ‘Senjata’ Berkesan Melawan COVID-19 – WHO

Vaksin Tetap ‘Senjata’ Berkesan Melawan COVID-19 – WHO

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

WASHINGTON – Vaksin tetap ‘senjata’ yang paling berkesan untuk melawan COVID-19, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) walaupun memberi amaran bahawa dunia ketika ini berisiko gagal dalam memerangi virus itu berikutan kemunculan varian Delta yang sangat cepat menular.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam satu sidang akhbar baru-baru ini berkata, sistem kesihatan di banyak negara kini sedang dibanjiri pesakit.

Tedros Adhanom Ghebreyesus…

Sementara itu, Pakar kecemasan WHO, Michael Ryan menurut satu kenyataan dipetik BH Online berkata, walaupun perjuangan melawan wabak semakin sengit, vaksin tetap menjadi pertahanan paling kuat.

“Kita melawan virus yang sama tetapi virus itu menjadi semakin kuat,” katanya.

Katanya, vaksin yang diluluskan oleh WHO semuanya memberikan perlindungan yang signifikan daripada mendapat penyakit yang teruk dan dimasukkan ke hospital serta mampu mengatasi semua varian, termasuk varian Delta.

Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan…

Amaran WHO hadir ketika Amerika Syarikat menggunakan pendekatan baharu yang sukar untuk meningkatkan kadar vaksinasi di tengah-tengah peningkatan jumlah kes.

Data juga menunjukkan bahawa mereka yang divaksin boleh dijangkiti walaupun tidak parah, dan boleh menjangkiti kepada orang lain.

Dalam satu kluster jangkitan di Massachusetts, tiga perempat daripada mereka yang dijangkiti sudah divaksinasi sepenuhnya.

“Perjuangan melawan virus kini sudah berubah,” kata Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) dalam taklimat dalaman yang dilaporkan oleh Washington Post.

Ia mengesyorkan beberapa langkah yang lebih sukar, termasuk menjadikan vaksinasi wajib bagi golongan profesional penjagaan kesihatan, dan kembali kepada pemakaian pelitup muka.

CDC berkata, varian Delta boleh menular seperti cacar air dan mengesyorkan mereka yang sudah diberi vaksin sepenuhnya harus tetap memakai pelitup muka (facemask) di tempat tertutup yang mempunyai kadar transmisi yang tinggi.

“Jumlah virus dalam darah individu yang sudah divaksin tetapi dijangkiti, menunjukkan peningkatan risiko penularan dan menimbulkan kebimbangan bahawa tidak seperti varian lain, orang yang divaksin yang dijangkiti Delta boleh menyebarkan virus,” kata ketua CDC Rochelle Walensky dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, individu yang tidak divaksinasi adalah lebih 10 kali ganda kemungkinan untuk jatuh sakit atau mati.

Sebilangan besar kes baharu di AS adalah di negeri dengan tahap vaksinasi yang rendah.

“Di Provincetown, Massachusetts, terdapat kes jangkitan dalam kalangan individu yang divaksin, tetapi ia masih sangat berkesan, menyelamatkan nyawa,” kata Dekan Baylor College of Medicine National School of Tropical Medicine, Dr Peter Hotez.

Di Asia, Thailand, Malaysia dan Indonesia mencatatkan rekod jangkitan COVID-19 yang disebabkan oleh varian Delta, yang juga menyebabkan lonjakan kes di Singapura.