KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Roger Chin menegaskan komitmennya untuk membawa perjuangan hak 40 peratus hasil Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke platform Dewan Undangan (DU) Sabah, sebagai suara bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
Bekas Presiden Sabah Law Society (SLS) itu berkata, penyertaan beliau dalam struktur legislatif negeri membuka ruang lebih kukuh untuk memastikan kerajaan Persekutuan menghormati dan melaksanakan hak kewangan yang dijamin kepada Sabah melalui Perlembagaan Persekutuan.
“Selama ini saya bersuara dari luar menulis, membantah dan menuntut pelaksanaan MA63 termasuk hak 40 peratus hasil Sabah. Namun, perjuangan ini memerlukan suara tegas terus dari tempat undang-undang digubal dan diputuskan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Roger berkata, pelantikannya ke DU bukan berdasarkan kepentingan politik tetapi sebagai tokoh profesional yang membawa keutamaan rakyat, khususnya dalam perkara yang telah lama tertangguh seperti semakan semula pemberian khas kewangan kepada negeri.
“Peranan ADUN Dilantik wujud untuk membolehkan golongan profesional menyumbang secara langsung dalam proses penggubalan dasar dan undang-undang. Kebebasan saya kekal utuh dan itulah sebab saya menerima amanah ini,” katanya.
Menurutnya, beliau akan terus memainkan peranan sebagai pemerhati kritikal yang tegas serta tidak ragu untuk menyuarakan isu-isu sensitif demi kepentingan rakyat Sabah.
“Saya tahu ramai yang bimbang jika saya masih boleh bersuara lantang. Jawapan saya: ya, malah platform ini memberi kedudukan lebih kuat untuk memperjuangkan apa yang benar,” katanya.
Beliau turut menyuarakan penghargaan atas sokongan rakyat serta menegaskan kesediaannya dipertanggungjawabkan dalam usaha memperkukuh kedudukan Sabah dalam Persekutuan.
“Perjuangan ini bukan tentang nama atau kedudukan. Ia tentang memastikan hak Sabah yang termaktub dalam undang-undang tidak terus dipandang sebelah mata. Saya akan pastikan suara rakyat Sabah tidak pernah hilang di DUN,” katanya.






