TAWAU: Polis berjaya menahan seorang wanita warga asing yang merupakan tokan serta merampas dadah jenis syabu seberat anggaran 2.13 gram di kawasan perumahan pekerja, sekitar kawasan Kalabakan, selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 40 Tahun itu, dilakukan sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan dibantu bahagian penguatkuasa ladang tersebut yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Kalabakan, kira-kira jam 7.40 malam.
Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah pekerja ladang di kawasan ladang tersebut dan menahan seorang wanita dalam keadaan mencurigakan.
“Pihak Polis kemudian masuk ke dalam rumah berkenaan dan memperkenalkan diri kepada seorang wanita yang berada di ruang tamu rumah tersebut dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil siasatan awal, suspek wanita itu menyerahkan satu bekas tin kepada Polis dan pemeriksaan lanjut di dalam bekas tin tersebut terdapat 15 peket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya.
Selain itu, pemeriksaan lanjut terhadap dua buah beg tangan milik suspek mendapati terdapat beberapa jumlah wang tunai yang dipercayai hasil dari kegiatan jualan dadah jenis syabu.
Tambahnya, suspek telah di bawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, polis turut menahan seorang suspek lelaki dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 5.30 petang di sekitar kawasan perumahan pekerja Felda Tengah, Kalabakan ketika menjalankan tugas ronda cegah jenayah.
Jelasnya, pemeriksaan terhadap suspek warga asing berumur 38 tahun itu tidak menemui apa-apa barang yang mencurigakan. Hasil siasatan awal, suspek mengaku telah menghisap dadah jenis syabu sebelum dia ditahan polis.
Katanya, suspek positif selepas menjalani ujian saringan awal di Balai Polis Kalabakan.
Mengulas lanjut, suspek turut di bawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, Polis Daerah Tawau sedang mempergiatkan usaha dalam membanteras kegiatan jenayah dan dadah dari masa ke masa dengan operasi yang lebih agresif di kawasan berkenaan.






