BEAUFORT, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan di atas perhatian yang menyeluruh kepada koperasi di negeri ini khususnya di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Jualan Prihatin Rakyat Peringkat Negeri Sabah yang disempurnakan oleh Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar Dan Pembangunan), Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Umar Sarim Haji Saidin di perkarangan Koperasi Jaya Murni Beaufort Berhad di sini kelmarin.

“Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan…
“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Umar di atas kehadiran beliau di sini bagi merasmikan pelancaran Jualan Prihatin Rakyat ini, dan juga kepada Pengarah Suruhanhaya Koperasi (SKM) Negeri Sabah, Matias Kundapin atas sokongan padu yang diberikan,” kata Ruslan.
Menurut beliau, sempena perasmian jualan yang diadakan kelmarin, pihak koperasi telah mengadakan Jualan Koperasi Prihatin Rakyat dengan potongan harga barangan sehingga 15%.
“Sebanyak 50 jenis barangan yang tersenarai, dan dijangka diskaun ini akan berakhir pada hujung bulan Disember ini,” kata Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd.
“Apa yang menarik lagi, pemberian diskaun ini juga turut diberikan oleh Coopmart Koperasi Bersatu Kampung Suasa Beaufort Berhad,” tambahnya.
Sehubungan itu, sempena pelancaran ini, satu simbolik pembayaran dividen 20% kepada 5 anggota Koperasi Jaya Murni Beaufort Berhad turutt diadakan.

Dalam program yang sama turut diadakan penyampaian sebuah cek replika sumbangan bernilai RM6,000 daripada Koperasi Jaya Murni Beaufort Berhad, yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusinya Haji Asmat Jaafar, kepada Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), diterima oleh Ruslan selaku Pemangku Presiden.
Ia adalah sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) koperasi kepada persatuan tersebut.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Penolong Pegawai Daerah Beaufort, Abd Karim A.M Zahari; Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, para pemimpin koperasi serta kakitangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah.





