KOTA KINABALU, SABAH – Pasangan tunang ditahan selepas kes penipuan jual beli kucing pada laman sosial Facebook berjaya dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Kejadian pada Isnin lalu menurut Ketua JSJK Sabah, Supt Moses Govindarajoo, melihat seorang suspek wanita berusia 26 tahun ditahan di IPK Sabah.
“Suspek mengaku memberikan kad ATM miliknya kepada tunangnya berumur 36 tahun dan dikenalpasti terbabit dalam kes yang mendatangkan kerugian sebanyak RM11,000…
“Tangkapan susulan terhadap lelaki terbabit di Jalan Tuaran Bypass,” katanya dalam kenyataan media.
Moses berkata suspek lelaki terbabit menggunakan akaun bank milik tunangnya untuk menerima wang kegiatan penipuan sebelum dipindahkan ke beberapa akaun luar negara.
“Lelaki terbabit mengakui bekerjasama dengan sindiket luar negara untuk menjalankan aktiviti jenayah penipuan dengan menjadi perantara pindahan wang hasil daripada penipuan,” tambahnya.
Moses turut mengingatkan orang awam supaya tidak berkongsi kad ATM, maklumat perbankan dan lain-lain maklumat peribadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.





