KM HAJIJI: SABAH BERJAYA KUTIP HAMPIR RM7 BILION TAHUN LALU

KM HAJIJI: SABAH BERJAYA KUTIP HAMPIR RM7 BILION TAHUN LALU

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik bagi membangunkan negeri di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya pada tahun 2022 dengan berjaya mengutip hasil hampir RM7 bilion setakat ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata sehingga 31 Disember lalu katanya, sebanyak RM6.96 bilion hasil dikutip oleh kerajaan negeri.

“Kutipan yang besar sejak merdeka ini bukti kerajaan negeri hari ini telah melakukan
yang terbaik, sekali gus ini bermakna kita telah mengurus negeri ini dengan baik.

“Kita tidak hanya berpolitik berbanding yang lain hanya tahu berpolitik dan mahu
mendapatkan kedudukan serta jawatan. Saya tahu ada yang cuba ambil alih kerajaan
dengan cara tidak betul.

“Namun, saya bersyukur kerana kita dapat menangani semua cubaan dan cabaran itu
dengan adanya sokongan padu rakan-rakan daripada PH (Pakatan Harapan) juga
sebahagian rakan dari UMNO dan BN (Barisan Nasional). Sokongan itu kerana mereka tahu kita mengurus kewangan negeri dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu
Cina Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman di sini, semalam.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Ahli Parlimen
Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya serta
Pengerusi Penganjur, Frankie Goh.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pendekatan mesra pelabur yang diamalkan kerajaan negeri turut menjadi pendorong kepada peningkatan kemasukan pelabur ke negeri ini.

“Kita membuka peluang seluas-luasnya kepada pelabur untuk datang ke negeri ini untuk mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan seterusnya pekerjaan kepada anak-anak Sabah.

“Ini adalah antara usaha kita untuk memulihkan kembali ekonomi negeri yang terjejas selepas pandemik COVID-19 dan rakyat dapat hidup dalam keadaan baik serta makmur.

“Saya juga ingin memberi jaminan kepada rakyat terutama kepada masyarakat
Tionghua bahawa kerajaan hari ini akan terus melakukan yang terbaik melalui Hala Tuju SMJ untuk memastikan Sabah maju dan rakyat mempunyai peluang dalam negeri mereka sendiri,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan kehadiran ramai rakyat berbilang bangsa
dan agama untuk sama-sama meraikan Tahun Baharu Cina dengan masyarakat Tionghua di Tuaran.

“Kita akan memastikan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang
bangsa dan agama akan terus dimantapkan dan diperhebatkan lagi,” katanya.