
KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM600,000 untuk 30 buah sekolah terpilih membabitkan sekolah menengah dan rendah di Sabah pada tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata peruntukan terbabit merupakan inisiatif pihaknya sebagai langkah membantu sekolah terbabit menaiktaraf fasiliti makmal sains masing-masing.
Mengulas lanjut, katanya setiap sekolah akan menerima peruntukan sebanyak RM20,000 sekaligus akan dapat menarik minat para pelajar kepada subjek Sains.
“Setiap sekolah akan menerima RM20,000 pada tahun ini dan ini baru sebahagian sahaja. Tahun ini kita ada 30 buah sekolah untuk kita berikan bantuan.
“Bantuan ini adalah untuk mengembangkan lagi subjek Sains khususnya dalam menaik taraf makmal Sains di sekolah terpilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ihya Ramadan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah di Wisma Bandaraya di sini, semalam.
Dalan pada itu, Mohd Arifin turut menyatakan harapannya agar usaha pihaknya mendekati murid dan pelajar terhadap subjek Sains dan Teknologi akan membuahkan hasil.
“Alhamdulilah, kita juga sentiasa memantau sejauh mana minat dan usaha kita untuk lebih ramai anak-anak kita mencebur diri dalam subjek ini, mudah-mudahan peratusnya akan bertambah,” katanya.





