Mael XPDC Meninggal Dunia

Mael XPDC Meninggal Dunia

0
SHARE
Vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali Mael meninggal dunia hari ini (27 April 2023)...

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali Mael, 55, meninggal dunia di Hospital Muar sekitar jam 9.30 malam tadi (Khamis, 27 April).

Dalam satu laporan yang dipetik Astro Awani, khabar duka berkenaan disahkan oleh anaknya, Sharifah Irfatasha menerusi satu kiriman teks di WhatsApp: “Adalah dengan amat sedihnya dimaklumkan bahawa bapa saya meninggal dunia di Hospital Muar pada Khamis, 27 April 2023, lebih kurang jam 9.30 malam.”

Pada masa sama berita itu juga dikongsik menerusi akaun Facebook pengurus kumpulan Slam, Johan Aziz, yang memetik pemberitahuan daripada pengurus kumpulan terbabit, Yazid.

“Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Al-Fatihah. Terima berita dari pengurus XPDC, Bro Yazid… Penyanyi XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim (Mael) telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Muar pukul 9 malam tadi.

“Semoga rohnya ditempatkan di sisi kekasih Allah,” ujarnya dalam hantaran itu.

Untuk rekod, Mael pada Ogos 2019 pernah dikejarkan ke hospital selepas mengalami kesakitan dan tidak mampu bergerak. DI Hospital Muar juga, beliau menerima rawatan hingga keadaannya kembali pulih.

Kumpulan genre ‘rock’ XPDC bergiat aktif dalam industri hiburan tanah air sekitar 1990 sehingga awal 2000 yang mana ketika itu dianggotai oleh Mael, Izo, Zuar dan Amy.

XPDC dilaporkan berjaya mencatat penjualan album terbaik sehingga melebihi 100,000 unit.

Jumlah itu tercatat menerusi jualan album Darjah Satu (1990), Timur Barat (1992), Kita Peng-Yu (1994), Brutal (1997) serta beberapa album kompilasi.