Penagih Nekad Terjun Dari Makhamah Majistret Keningau Ditangkap Semula

Penagih Nekad Terjun Dari Makhamah Majistret Keningau Ditangkap Semula

0
SHARE

KENINGAU, SABAH – Nekad terjun dari tingkat dua Mahkamah Majistret Keningau selepas dibacakan hukuman penjara enam bulan pada Isnin, suspek dadah yang berjaya melarikan diri diberkas semula dalam tempoh tujuh jam.

Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Cawangan Khas IPD Keningau menemui Muhammad Safwan Shahir Jasuf Abdullah, 24, sedang bersembunyi di dalam reban ayam di kuarters kerajaan berhampiran bangunan Hospital Lama Keningau pada jam 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata suspek yang tidak digari itu sedang dijatuhkan hukuman atas pertuduhan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (mengambil dadah) oleh Majistret Flavian Edward Henry, di Kamar Mahkamah Majistret.

“Suspek tidak digari berikutan dilepaskan secara berasingan bersama enam banduan lain untuk proses dibacakan hukuman.

“Sebaik sahaja hukuman penjara dibacakan, suspek tiba-tiba melompat keluar dari kandang tertuduh, menolak tingkap kaca dan melompat keluar.

“Suspek kemudian ke bahagian bumbung garaj setinggi dua meter sebelum melompat ke bawah dengan ketinggian empat meter lalu berlari ke pagar mahkamah.

“Suspek kemudiannya menghilangkan diri selepas berjaya keluar ke jalan raya utama berhampiran Bulatan Rusa, Pekan Keningau,” katanya.

Jelasnya, hanya ruang persidangan di Mahkamah Sesyen aras bawah sahaja yang berjeriji manakala empat buah kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di dalam ruang persidangan Makhamah Majistret juga tidak berfungsi.

Suspek kemudian dibawa balik ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.