Dua Wanita Cedera Myvi Bertembung Nissan Navara di Jalan Tuaran Bypass

Dua Wanita Cedera Myvi Bertembung Nissan Navara di Jalan Tuaran Bypass

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dua wanita cedera selepas kereta jenis Perodua Myvi yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara dalam kemalangan di Taman Cerah, Jalan Tuaran Bypass malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.57 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dengan kekuatan sembilan anggota digegaskan ke lokasi.

Menurut Komander Operasi, PBK I Willfred Sulai, seorang mangsa wanita tersepit di dalam kereta dan mengalami kecederaan pada muka, dahi, dagu serta pergelangan tangan kanan, manakala seorang lagi mangsa berusia 33 tahun cedera di bahagian perut.

“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum kedua-dua mereka dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.20 malam.