
KOTA KINABALU, SABAH – Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2024 akan bermula pada 14 Oktober ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Diyanah Abdullah berkata KITA 2024 mengangkat tema “Integriti Lestari Asas Kejayaan Madani” dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“Seramai lebih kurang 2,500 peserta dari seluruh Malaysia bakal menyaksikan forum interaktif menarik sepanjang dua hari KITA 2024 berlangsung yang disampaikan oleh moderator serta panel berpengalaman.
“Pada sesi plenary, KITA 2024 kali ini akan disampaikan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain,” jelas beliau.
Menurutnya, KITA 2024 merupakan salah satu platform bagi mewujudkan sinergi pelbagai agensi bagi memaksimumkan penggunaan sumber selain idea dalam tindakan pemantapan tadbir urus, integriti serta antirasuah (GIA).
“Penganjuran KITA 2024 tahun ini akan lebih memfokuskan isu dan cabaran perkhidmatan awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) melalui spektrum strategi, kesiapsiagaan serta keberkesanan dalam menginstitusikan tatakelola yang terbaik bagi mencapai matlamat organisasi.
“Ini memerlukan keutuhan governans, kelestarian integriti dan keberkesanan strategi antirasuah dalam menyumbang kepada kestabilan ekonomi secara signifikan selain menjamin kelestarian masa depan” katanya ketika ditemui media selepas Sesi Temubual Bersama SabahFM di sini, pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan penganjuran KITA 2024 kali kedua itu menjadi mercu kebangaan kerajaan negeri memandangkan Sabah adalah tuan rasmi dan penganjur eksklusif konvensyen ini sejak tahun lalu.
Dalam pada itu, Diyana berharap agar penganjuran KITA 2024 kali ini akan mengukuhkan hubungan baik antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan dalam menjadikan Sabah negeri bebas rasuah. — JABATAN PENERANGAN SABAH





