KUDAT: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, mengumumkan peruntukan melebihi RM1.52 juta bagi membantu pekebun kecil sawit di Kudat.
Sebanyak RM795,780 disalurkan kepada 10 pekebun kecil melalui Skim Insentif Pembiayaan Penanaman Semula Sawit Pekebun Kecil (TSPKS 2.0) bagi penanaman semula sawit lama seluas 44.21 hektar.
Selain itu, RM725,000 diperuntukkan untuk pembinaan dua projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) sepanjang 2.3km di Kg. Rasak Darat Tigaman dan Kg. Suang Pai, bagi memudahkan akses ke ladang dan pusat jualan.
Beliau turut merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Timbang baharu KPSM Kota Marudu di Kg. Garuda yang bakal memberi manfaat kepada 300 pekebun kecil.
Projek bernilai RM1 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh keuntungan perniagaan koperasi.
MPOB turut giat mengadakan program turun padang melalui Pegawai Khidmat Nasihat Sawit (TUNAS), dengan 29 program dilaksanakan di Sabah melibatkan 1,455 pekebun kecil.






