Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Program permainan kad dagangan atau Trading Card Game (TCG) disifatkan sebagai satu kaedah yang efektif untuk membawa generasi muda tampil bersosial secara sihat dan aktif, kata Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan.
Program edisi kedua itu mencatat penyertaan yang memberangsangkan dengan kehadiran lebih 1,000 peserta dari pelbagai komuniti TCG di seluruh Sabah.
“Saya ucapkan tahniah kepada penganjur kerana sambutan tahun ini amat menggalakkan. Saya difahamkan penyertaan semakin bertambah, termasuk permainan-permainan baharu yang diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meeia selepas menyempurnakan penutupan program The TCG Event II yang berlangsung di pusat beli-belah 1Borneo pada Ahad.
Menurut Abqaree, program seperti ini wajar diberi sokongan penuh kerana ia bukan sekadar hobi, tetapi juga membina kemahiran sosial dan pemikiran strategik dalam kalangan belia.
“Generasi Z dan Alpha sekarang ini semakin kurang berinteraksi secara fizikal. Tetapi menerusi acara seperti ini, mereka keluar dari rumah, berjumpa rakan-rakan sebenar dan bersosial secara sihat. Ia dua hala dan penuh nilai pembangunan diri,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus menyokong usaha komuniti anak muda yang menganjurkan program seperti ini, malah mencadangkan agar satu ekosistem lebih tersusun diwujudkan untuk mengangkat penggiat TCG ke peringkat lebih tinggi.
“Anak-anak muda kita perlu diberi ruang, peluang dan platform. Jika diberi bimbingan dan sokongan, saya percaya mereka mampu diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Chang Chee Ken berkata, penganjuran kali kedua kali ini menunjukkan sambutan cukup positif dari para peserta yang semakin bertambah berbanding tahun lalu.
“Penyertaan ramai hingga mencecah 1,000 orang sepanjang tempoh dua hari dan tahun lalu kita hanya ada lapan permainan kad, lima kedai permainan kad, tapi tahun ini kita ada enam kedai permainan kad yang join kita dan kita ada 12 permainan kad.
Peserta Pameran Ericson Lotidis pula menjelaskan program itu sekali gus membantu meningkatkan jualan TCG kepada peserta pameran.
“Saya nampak banyak potensi terutamanya remaja yang berminat untuk bermain dan juga yang sudah bermain. Saya rasa TCG ini berpotensi untuk diangkat pada masa akan datang,” katanya.
Untuk rekod, kedai TCG R916 Hobby & Foods dimiliki Ericson yang terletak di tingkat 1 pusat beli belah Megalong, Penampang kini menjadi tumpuan belia untuk bermain sekali gus membina kumpulan belia interkatif, positif, berdaya saing dan sihat.
Antara TCG yang terdapat di R916 Food & Hobbies termasuklah Magic The Gathering, Cookies Run Braverse dan Lorcana.






