TAWAU: Sebanyak 25 buah rumah musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, di sini pagi tadi.
Bagaimanapun, insiden yang berlaku sekitar jam 9.37 pagi itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 dan tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian pada jam 9.48 pagi.
Komander Operasi, PBK I Jehrey Ibno berkata, kebakaran melibatkan 25 rumah terdiri daripada pelbagai saiz termasuk dua rumah berkeluasan 30×40 kaki persegi, lapan rumah 10×15 kaki persegi dan 16 rumah 10×10 kaki persegi.
Sebuah motosikal turut musnah terbakar.
“Kebakaran melibatkan kawasan seluas 80×150 kaki persegi dan kesemua struktur terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Operasi pemadaman diketuai Komander Operasi Kanan, PPgB Madzlan Sharman, dengan kekuatan 39 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, dibantu oleh tujuh anggota bomba komuniti serta agensi lain termasuk 8 anggota PDRM, 2 anggota KKM, 7 anggota APM dan 4 Dari Sabah Electricity.
Pasukan bomba menggunakan gabungan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’ bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Sumber air diperoleh daripada tangki jentera bomba dan pam angkut menggunakan air laut.
Sebanyak 1,300 rumah berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas pasukan bomba. Kesemua penghuni rumah terlibat dilaporkan berjaya keluar dengan selamat sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.45 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan bagi memastikan tiada ancaman lain di kawasan tersebut.






