TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang disyaki mengamuk sambil membawa sebilah pisau di kawasan Kampung Batu 4, Jalan Apas, berjaya diberkas polis dalam kejadian awal pagi Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada bilik kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sekitar jam 12.55 tengah malam.
Sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) telah digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan suspek di luar sebuah rumah.
“Pemeriksaan lanjut menemui sebilah pisau panjang berukuran kira-kira 24.5 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Namun, hasil semakan mendapati individu terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugut jenayah, dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah memasuki negara.
ACP Jasmin turut menyeru orang awam supaya segera melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman masyarakat setempat.






