KOTA KINABALU: Penganjuran Sabah Moto Day 8.0 (SMD8.0) yang berlangsung meriah di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menghimpunkan lebih 60,000 penggemar dunia pemotoran dari seluruh negeri sejak semalam.
Sambutan kehadiran itu menjadikan acara ini sebagai salah satu himpunan terbesar komuniti dua roda di Sabah.
Pengerusi Skuad Antidadah Negeri Sabah merangkap penganjur Datuk Mazlan Joehari Manan berkata, kehadiran luar biasa ini membuktikan minat mendalam anak muda terhadap arena pemotoran.
“Pada hari ini sahaja lebih 60,000 hadir, manakala semalam kita sudah menerima lebih 20,000 pengunjung. Ini menunjukkan kecintaan dan sokongan anak-anak muda kepada aktiviti dua roda yang bukan sekadar hobi, tetapi juga platform penyatuan dan silaturahim,” katanya di sini hari ini selepas majlis perasmian oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Mazlan berkata, Sabah Moto Day bukan sekadar acara hiburan, tetapi medan untuk mempamerkan keberadaan serta peranan anak muda dalam kesinambungan pembangunan negeri.

“Kita mahu melihat anak-anak muda ini mengaplikasikan manfaat daripada program yang diadakan. Kehadiran mereka membuktikan semangat belia Sabah yang bukan sahaja bersemangat dalam dunia pemotoran, tetapi juga menjadi aset penting untuk masa depan negeri,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur apabila acara ini dimulakan dengan program solidariti untuk Allahyarhamah Zara Qairina pada hari pertama semalam, sebelum diteruskan dengan perasmian rasmi hari ini.
Dalam pada itu, Mazlan turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah yang sentiasa memberi sokongan terhadap penganjuran SMD sejak edisi pertama sehingga kini.
“Tanpa dukungan berterusan kerajaan negeri, acara sebesar ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sokongan ini perlu dihargai oleh anak-anak muda dengan menterjemahkannya melalui sokongan kepada inisiatif dan usaha kerajaan negeri pada masa depan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penganjuran acara seperti ini membuktikan komitmen bersama antara kerajaan dan belia dalam membina generasi muda yang bersatu, berdaya saing, dan berperanan penting dalam kepimpinan negeri serta negara.
Turut hadir sama, iaitu Penganjur utama himpunan ini ialah, Pengerusi Kelab Dua Roda Bersatu, Rudhi Hariyanto Ghazali.






