KUDAT: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditemui lemas ketika mandi-manda bersama keluarganya di Pantai Simpang Mengayau, tengah hari Ahad.
Menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat menerima panggilan kecemasan pada jam 12.28 tengah hari sebelum menghantar sebuah jentera dengan lapan anggota ke lokasi kejadian.
Menurut pegawai jurucakap, mangsa ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 1.05 petang pada jarak 400 meter dari tepi pantai.
“Remaja berkenaan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 1.43 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang.






