KOTA KINABALU: Pengerusi Kumpulan SEDCO, Datuk Masiung Banah, mengingatkan semua pegawai eksekutif dan kakitangan agensi itu supaya berkhidmat sebagai pelayan masyarakat serta menolak budaya pentadbiran bermentaliti “Little Napoleon”.
Beliau menegaskan, pegawai di semua peringkat perlu meletakkan rakyat sebagai majikan sebenar dalam etika perkhidmatan dan mengamalkan pendekatan pengurusan berteraskan turun padang.
“Kita harus memerangi mentaliti ‘Little Napoleon’ dan mengambil pendekatan Management by Walking Around bagi memastikan perkhidmatan disampaikan secara berkesan kepada rakyat,” katanya ketika melawat Sedco Mining Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan SEDCO di Wisma Perkasa, di sini, pagi kelmarin.
Dalam lawatan itu, Masiung diiringi Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong, dan menerima taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Sedco Mining Sdn Bhd, Shamsul Bahri Johari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu yang memulakan tugas sebagai Pengerusi baharu Kumpulan SEDCO pada Isnin lalu berkata, perubahan mentaliti bukan hanya tertumpu kepada pegawai kanan, malah perlu diterjemahkan hingga ke peringkat kakitangan bawahan.
Beliau menjelaskan, budaya “Little Napoleon” merujuk kepada penyalahgunaan kuasa oleh pegawai di pelbagai peringkat yang boleh menimbulkan kelewatan dan menjejaskan pelaksanaan agenda yang dirancang.
“Saya sendiri akan memantau integriti pegawai dan kakitangan agensi milik penuh kerajaan negeri ini. Jangan cuba mengambil kesempatan atas kuasa yang ada,” tegasnya.
Menurut Masiung, Sedco Mining Sdn Bhd merupakan antara fokus utama kerajaan negeri dan berperanan sebagai penggerak penting ekonomi Sabah, justeru tahap kecekapan dan integriti perlu sentiasa dipertingkatkan.
Beliau menambah, beberapa anak syarikat di bawah Kumpulan SEDCO yang dilaporkan bergerak perlahan akan terus dipantau bagi mengenal pasti punca kelemahan operasi dan menambah baik prestasi keseluruhan agensi itu.






