TENOM: Enam individu yang digelar sebagai “unsung hero” kerana tindakan pantas mereka semasa insiden kereta api kehilangan fungsi brek di Kampung Pangi menerima motosikal baharu sebagai tanda penghargaan atas keberanian dan bantuan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sumbangan itu disampaikan dalam satu program ringkas tetapi bermakna yang diadakan hari ini, dengan motosikal berkenaan disumbangkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Bagi mewakili semua penerima, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Datuk Seri atas keprihatinan beliau terhadap masyarakat yang telah menunjukkan keberanian dalam membantu ketika kejadian tersebut,” kata Jamawi dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Enam penerima motosikal tersebut ialah Sarudi Siden, Julintoh Landan, Lewi Rani, Mike Yulon, Leinto Landan dan Tunih Rani. Selain mereka, pemandu kereta api yang berjaya mengawal kenderaan semasa insiden turut menerima sumbangan sebagai penghargaan atas tindakannya yang berjaya menstabilkan keadaan.
Jamawi, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim, atas bantuan mempermudahkan urusan penyaluran sumbangan tersebut.
Beliau berharap motosikal baharu itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima tetapi turut menjadi pemangkin semangat kepada masyarakat kampung untuk terus berusaha memajukan ekonomi keluarga.
Turut hadir pada program berkenaan ialah Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liaw, serta pimpinan masyarakat Majlis Amanah Rakyat (MAN) Tenom.






