TAMPARULI: Seorang warga emas lelaki melecur di bahagian tangan kanan selepas rumah yang didiaminya terbakar hampir keseluruhan dalam kejadian kebakaran berhampiran Tamparuli Point di sini, petang Rabu.
Dalam kejadian kira-kira 4.21 petang, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.
Ketua Balai BBP Tuaran, TPgB Kurong ak Beki berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi pada 4.37 petang mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 23 x 30 kaki yang terbakar 90 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera bomba dan water tanker,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mangsa lelaki berusia 67 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian tangan kanan dalam kejadian tersebut.
Beliau berkata pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 4.59 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.41 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.
Operasi pemadaman diketuai oleh PBK I Norkizan Durudin bersama sembilan anggota menggunakan sebuah jentera FRT, sebuah water tanker dan sebuah EMRS.






