LAHAD DATU: Semangat kebersamaan dan muhibah jelas terserlah dalam program memasak bubur lambuk anjuran POIC Lahad Datu pada 12 Mac lalu apabila seramai 44 peserta bergotong-royong menyediakan hidangan tradisi berbuka puasa itu.
Turut menyertai program tahunan tersebut ialah Pengerusi POIC Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Fredian Gan.
Mereka disertai pegawai syarikat-syarikat di POIC Lahad Datu, kakitangan POIC serta wakil pihak berkuasa tempatan yang bersama-sama menghasilkan lebih daripada 2,400 hidangan bubur lambuk.
Hadir sama memberi sokongan ialah ahli lembaga pengarah POIC, Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos, wakil Pejabat Daerah Lahad Datu, Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu, Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu serta Sabah Ports.
Program ini turut mendapat sokongan bahan daripada Adabi, salah satu jenama makanan terkemuka Malaysia yang juga merupakan pelabur di POIC Lahad Datu sejak 2025.
Madius memuji peranan Adabi dalam menyemarakkan semangat Ramadan serta menyokong usaha POIC Sabah membentuk komuniti pelaburan yang dinamik di POIC Lahad Datu.
Beliau turut menekankan potensi besar peluang perniagaan bagi pengeluar makanan berasaskan POIC dalam wilayah BIMP-EAGA yang mempunyai pasaran melebihi 80 juta penduduk.
Dalam semangat Ramadan, Madius dan Gan turut bersama-sama mengacau bubur lambuk yang disediakan sebelum sebahagiannya diagihkan kepada masyarakat sekitar Lahad Datu.






