Kestabilan Politik Terus Diperkukuh – Hajiji

Kestabilan Politik Terus Diperkukuh – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan Kerajaan Negeri kekal komited dalam memperkukuh kestabilan politik yang sedang dinikmati di Sabah ketika ini.

Beliau berkata, kestabilan politik merupakan prasyarat utama kepada pembangunan dan kemakmuran negeri.

Kestabilan politik adalah prasyarat utama kepada pembangunan dan kemakmuran negeri,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2026.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah merangka hala tuju yang lebih strategik dan menyeluruh melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memacu Sabah ke tahap kemajuan yang lebih tinggi.

“SMJ 2.0 bukan sekadar pelan di atas kertas, sebaliknya ia merupakan komitmen jitu untuk mentransformasikan ekonomi negeri, memperkasa modal insan dan memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji mengajak seluruh rakyat Sabah menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai pemangkin untuk memperbaharui tekad, mempererat perpaduan serta melipatgandakan usaha dalam membina negeri yang lebih maju dan sejahtera di bawah agenda Sabah Maju Jaya.

“Sesungguhnya Aidilfitri adalah simbol kemenangan melawan hawa nafsu, kemenangan mendidik jiwa dengan kesabaran dan keikhlasan serta platform terbaik untuk memperkukuh silaturahim sesama keluarga, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya.

“Di bumi Sabah yang bertuah ini, Aidilfitri diraikan dalam suasana muhibah oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama. Inilah kekuatan sebenar kita, iaitu perpaduan dalam kepelbagaian.

“Nilai hormat-menghormati, toleransi dan kebersamaan yang kita warisi sekian lama harus terus dipelihara sebagai asas kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya.