KOTA BELUD: Sebanyak 150 buah gereja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menerima sumbangan berjumlah RM150,000 sempena sambutan Paskah daripada ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Sumbangan sebanyak RM1,000 bagi setiap gereja itu disampaikan oleh Ewon di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, di sini, hari ini, menerusi peruntukan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian.
Ewon berkata, pemberian sumbangan kepada gereja-gereja di Kadamaian akan dilaksanakan dua kali setiap tahun, iaitu sempena Paskah dan Krismas.
“Setiap gereja akan menerima RM1,000 bagi setiap sambutan, menjadikan jumlah keseluruhan RM2,000 setahun. Saya berharap sumbangan ini dapat membantu keperluan gereja bagi persiapan sambutan Paskah pada minggu ini,” katanya, di sini, semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa sumbangan tersebut akan diteruskan selagi beliau diberi amanah sebagai ADUN Kadamaian, selain komitmen menyediakan peruntukan pembangunan bagi keperluan rumah-rumah ibadat di kawasan berkenaan.
Turut hadir dalam majlis penyampaian itu ialah Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian, Ukoh Jeremmy Malajad.






