KOTA KINABALU: Kerjasama strategik dalam projek North Sabah Enhanced Oil Recovery Production Sharing Contract (EOR PSC) dilihat mampu memperkukuh kedudukan Sabah dalam sektor tenaga, dengan penekanan terhadap semangat berpasukan sebagai faktor utama kejayaan pelaksanaannya.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerjasama berkenaan bukan sekadar melibatkan perjanjian, tetapi memerlukan komitmen bersama untuk memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh negeri dan rakyat.
“Kerjasama ini memberi peluang untuk memperkukuh kedudukan Sabah dalam sektor tenaga serta memastikan pembangunan yang dilaksanakan membawa manfaat sebenar kepada negeri dan rakyat.
“Kita perlu bergerak bukan sekadar sebagai rakan kerjasama, tetapi sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Jalinan Kerjasama North Sabah EOR PSC di sini, semalam.
Menurutnya, kerjasama itu melalui proses berperingkat sejak dua tahun lalu, bermula dengan perbincangan awal sebelum pemeteraian Heads of Agreement (HOA) pada November 2025, diikuti Farm Out Agreement (FOA) pada Februari 2026 dan Joint Operating Agreement (JOA) pada 31 Mac lalu.
Katanya, projek berkenaan melibatkan Hibiscus Petroleum sebagai operator, manakala SMJ Energy bersama PETRONAS Carigali sebagai rakan bukan pengendali, sekali gus memperkukuh rekod kerjasama strategik dalam sektor tenaga.
Masidi turut menegaskan bahawa kejayaan jangka panjang kerjasama itu bergantung kepada keterbukaan, saling menghormati serta kesediaan untuk menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran.
Beliau berkata, platform seperti majlis berkenaan penting bagi mengukuhkan hubungan kerja, membina keserasian serta memperluas jaringan antara semua pihak terlibat.
Masidi turut merakamkan penghargaan kepada rakan industri termasuk PETRONAS, Hibiscus Petroleum dan Malaysia Petroleum Management (MPM) atas komitmen serta sokongan dalam menjayakan kerjasama berkenaan.






