SANDAKAN: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) terus memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti menerusi Jelajah Pemuda Zon Sandakan baru-baru ini yang menghimpunkan pimpinan pemuda daripada tujuh bahagian dalam usaha menyelaras gerak kerja dan memperkasa perjuangan parti di peringkat akar umbi.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, pertemuan itu menjadi platform penting bagi memperincikan perkembangan parti selain membincangkan isu-isu semasa yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Menurut beliau, jelajah berkenaan melibatkan pimpinan Pemuda Bahagian Sekong, Karamunting, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Gum-Gum, Elopura dan Tanjung Papat.
“Perbincangan yang terbuka dan berfokus ini membolehkan setiap pimpinan bahagian menyelaras gerak kerja serta memperkukuh kesatuan dalam menghadapi landskap politik yang semakin dinamik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.
Azrul berkata, Pemuda Gagasan Rakyat juga bersedia menjadi tulang belakang parti dengan tekad serta disiplin tinggi dalam mendepani Pilihan Raya Umum akan datang.
“Kekuatan jentera pemuda bukan sahaja terletak pada jumlah, tetapi pada kejelasan hala tuju, kesatuan fikrah dan keberanian membawa suara rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen Pemuda Gagasan Rakyat untuk terus memperjuangkan isu-isu rakyat khususnya melibatkan golongan muda termasuk peluang pekerjaan, pendidikan, keusahawanan dan kos sara hidup.
“Suara anak muda tidak boleh sekadar didengar, tetapi mesti diperjuangkan dengan tindakan yang nyata dan berkesan,” katanya.
Tambah beliau, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus bergerak sebagai satu pasukan dalam memperkukuh parti selain memastikan aspirasi rakyat kekal menjadi keutamaan perjuangan.






